Drama Setia Hujung Nyawa yang dilakonkan oleh Amar Ashraf dan Nelydia Senrose memang menajdi kegilaan rakyat di negara ini tidak kira tua atau muda..
jalan cerita yang ringkas dan senang difahami menyebabkan cerita ini seronak ditoton dimana seorang wanita yang hamil( anik luar nikah) dikahwinkan dengan lelaki laen dan konflik pon belaku..
Kita sedar atau tidak apakah hukumnya menikahi wanita hamil ini dan apakah yang akan terjadi kepada bayi yang dihamilkan oleh wanita itu..pasti kebanyakan rakyat islam di negara ini konfius dengan hukum ini kan..
so, aku bawakkan info ini untuk dikongsikan bersama, korang baca la dengan teliti aktikal ini supaya tidak tersilap maksudnya nanti ok....
jom layansss aktikal ini jom .....^o^
![]() |
GAMBAR SEKADAR HIASAN |
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, penulis al-Fiqh al-Islami, hukum tidak sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil hasil hubungan luar nikah atau diistilahkan sebagai 'zina' dalam bidang fikah adalah fatwa mazhab Maliki.
Namun tidak
disyaratkan anak yang dilahirkan oleh wanita itu mesti berusia 40 hari atau
lebih untuk melaksanakan akad nikah kemudiannya.
Mazhab ini mensyaratkan
lelaki yang ingin bernikah dengan mana-mana wanita yang terlibat dengan zina
perlulah memastikan rahimnya suci terlebih dahulu. Caranya, dengan menunggu
sehingga tempoh tiga kali datang bulan (haid) atau berlalunya tempoh tiga bulan
dari saat terakhir dia melakukan zina (al-istibra').
Jumhur ulama
bersepakat mewajibkan istibra' demi menjaga kesucian susur
galur keturunan kerana ia akan melibatkan status anak sah taraf atau tidak
untuk dibinkan kepada suami yang dikahwini setelah zina berlaku, kemudian
masalah wali kahwin bagi anak perempuan dan masalah pewarisan harta dari segi hukum-hakam
Islam.
Jika syarat ini
diabaikan, dan akad nikah diteruskan, maka akadnya dihukumkan fasid atau
rosak yakni tidak sah di mana perpisahan dihukumkan wajib bagi pasangan
tersebut; sama ada zahir pada wanita itu tanda-tanda hamil atau tidak.
Jika wanita itu
didapati mengandung hasil hubungan zina, maka istibra'nya ialah
kelahiran anak itu. Tidak sah akad nikah sebelum wanita itu bersalin
berdasarkan hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan
hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang
lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya). (riwayat Abu
Daud dan juga oleh al-Tirmizi yang menghukumkannya berdarjat hasan dengan lafaz
'anak orang lain').
Termasuk satu
lagi hadis sahih dari al-Hakim mengenai wanita-wanita tawanan perang Awtas
susulan daripada peperangan Hunain yang dibahagi-bahagikan kepada para pejuang
yang bermaksud: "Tidak disetubuhi seorang wanita hamil itu sehingga
bersalin".
Syarat ini juga
digunapakai dalam mazhab Hanbali terutamanya bagi lelaki yang telah mengetahui
status wanita itu berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal yang
bermaksud: "Janganlah sekali-kali seorang lelaki menyetubuhi seorang
wanita yang hamil bukan dari benihnya".
Syarat tambahan
mazhab ini ialah hendaklah wanita itu bertaubat nasuha terhadap dosa besar yang
telah dilakukannya itu bagi mengeluarkannya daripada hukum asal al-Quran ke
atas penzina: Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan
dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang
berzina pula tidak boleh berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau
lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang
yang beriman. (al-Nur: 3)
Lebih-lebih lagi
jika mereka tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina seperti yang
diisyaratkan di akhir ayat tersebut.
Hal ini
berdasarkan hadis yang bermaksud: "Seseorang yang benar-benar bertaubat
daripada dosanya (taubat nasuha) adalah umpama seorang yang suci daripada
segala dosa".
Kemudian baginda
membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 222: Sesungguhnya
Allah Maha Menyintai orang-orang yang suka bertaubat dan sentiasa menjaga
kesucian.
Sementara mazhab
Hanafi menghukumkan sah akad nikah seseorang lelaki yang mengahwini seorang
wanita yang berzina dengan seorang lelaki lain jika dapat dipastikan wanita itu
tidak hamil.
Jika wanita itu
hamil juga diharuskan menikahinya dengan syarat tidak boleh menyetubuhi wanita
itu sehingga dia bersalin berdasarkan ayat 23-24 dari surah al-Nisaa' yang
tidak menyenaraikannya sebagai wanita yang haram dinikahi:
Telah diharamkan
kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu
kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara sebelah bapa
dan ibu kamu, anak-anak saudara perempuan daripada adik-beradik lelaki dan
perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu dan adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu
isteri-isteri kamu, anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri
kamu yang telah kamu nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu
menceraikan mereka sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin dengan
anaknya). Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri
anak-anak lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan
diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik
sekaligus sebagai isteri-isteri kamu, kecuali yang telah berlaku pada masa
lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan
(diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang masih
berstatus isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Hukumnya haram
ini) adalah suatu ketetapan dari Allah (yang diwajibkan) ke atas kamu. Dan
dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan lain selain daripada yang disebut (di
atas), untuk kamu mencari (wanitai) dan memperisterikannya dengan harta kamu
dengan menikahinya secara yang sah, bukan secara berzina… (an-Nisaa': 23 dan 24).
Pendapat ini
dikuatkan dengan hadis riwayat al-Bukhari berkenaan perlakuan zina wanita yang
telah berkahwin: Anak yang dilahirkan itu bagi empunya kamar tidur
(iaitu hak suami yang sah), dan batu bagi penzina (rejam). Ia menggambarkan
bahawa air mani penzina tidak mengharamkan hubungan perkahwinan yang sah.
Mazhab ini
bersependapat dengan mazhab Hanbali dan Maliki yang mengharamkan persetubuhan
kepada lelaki yang mengahwini wanita yang mengandung bukan dari benihnya.
Sehingga wanita itu bersalin berdalilkan hadis yang sama: "Sesiapa yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram
airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari
benihnya)". (riwayat Abu Daud).
Mazhab Syafie
pula mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita yang menjadi pasangan
zinanya berdasarkan ayat 3, Surah al-Nur.
Perbuatan haram
mereka berzina tidak mengharamkan mereka untuk melakukan pernikahan yang sah di
mana hukumnya halal. Fatwa ini disepakati oleh jumhur ulama.
Nasab bayi
Menurut fatwa
jumhur, jika wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan berkahwin, maka anak
itu dinasabkan kepada suaminya yang sah.
Jika kurang dari
tempoh itu, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali dia berkeras mengaku
bahawa bayi itu anaknya atau tidak ada bukti jelas ia adalah hasil daripada
hubungan zina terutamanya dalam menjaga maruah seorang Muslim.
Tempoh minimum
enam bulan ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi di mana pada masa
pemerintahan Saidina Umar, terdapat seorang wanita yang melahirkan anak setelah
enam bulan mengandung.
Dia telah dibawa
menghadap Saidina Umar untuk dihakimi iaitu diputuskan menjalani hukum rejam.
Kes tersebut sampai ke pengetahuan Saidina Ali lalu beliau berkata: Wanita itu
tidak sepatutnya direjam.
Kata-kata beliau
akhirnya diketahui oleh Saidina Umar, lalu beliau terus menghantar utusan
bertanyakan Saidina Ali tentang hal itu.
Saidina Ali
terus membacakan ayat 233 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan
ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka sehingga genap tempoh dua tahun
bagi mereka yang ingin menyempurnakan proses penyusuan…. Kemudian
beliau membaca ayat 15 dari surah al-Ahqaf yang bermaksud: Dan tempoh
mengandungnya sehingga selesai proses penyusuannya mengambil masa selama 30
bulan….
Perbezaan
kedua-dua tempoh di dalam dua ayat al-Quran tadi ialah 6 bulan (30 bulan - 24
bulan bersamaan dengan 6 bulan).
Jadi, kelahiran
itu tidak boleh dianggap anak zina, oleh yang demikian, mereka telah
membatalkan hukuman rejam ke atas wanita tersebut.
Hanya status
undang-undang anak tak sah taraf sahaja tidak boleh berbinkan suami kepada
wanita yang mengandung luar nikah dan seterusnya tidak boleh berwalikannya.
Menurut fatwa
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 pada 10 Jun 2003 penjelasan
istilah Anak Tidak Sah Taraf adalah seperti berikut:
*Anak yang
dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;
*Anak yang
dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad
nikah (sehingga dia bersalin) dan dia bukan hasil daripada persetubuhan
syubhah; dan
*Anak yang
dilahirkan dalam tempoh lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu
akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar
nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri
tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi
syarat-syarat mengikut hukum syarak seperti proses li'an.
Sumber: www.utusan.com.my
oh ... baru saya tahu ... nice info
ReplyDelete2 la xsdar kn selama ni...hehe
Delete